Terjemahan

Menulis Dari Hati

MANA SATU BERITA? ANJING MAKAN ORANG ATAU ORANG MAKAN ANJING?

Mana satu orang?
Mana satu berita? Anjing makan orang atau orang makan anjing?

Teringat soalan tersebut yang dilontarkan pensyarah saya di kelas penulisan berita.
Dahulu bila guru kewartawanan saya itu mengatakan cerita tentang orang makan anjing adalah lebih mempunyai nilai berita, saya tidak terasa apa-apa pun. Pendek kata, telanlah saja kerana bukankah itu teori yang diguna pakai dalam buku-buku kewartawanan berbahasa Inggeris semenjak zaman sebelum saya menyertai kursus itu lagi?

Tetapi sekarang bila saya menonton program masakan seperti Bizarre Foods America bersama Chef Andrew Zimmern,menerusi saluran Asian Food Channel (AFC),  terlintas di fikiran semula tentang sama ada relevan atau tidak lagi teori 'anjing' itu diguna pakai untuk pengajaran di kelas journ (kependekan journalism)?

Mana tidaknya, dalam program tersebut Chef berkepala licin itu sentiasa dirakamkan sedang menikmati makanan berasaskan lauk pauk binatang eksotik dan pelik-pelik yang ada kalanya tidak terjangkau oleh akal kita. Lalu apa nilai beritanya bila orang memakan anjing? Pendek kata, bukan setakat menggigit, bahkan ada restoran di luar negara yang menyajikan hidangan sup anjing, anjing panggang dan sebagainya untuk pelanggan mereka.

Sungguh, tidak relevan sudah teori tersebut. Saya pun berharap ia tidak diguna pakai lagi. Biasalah, masa boleh membuat sesuatu yang penting menjadi tidak ada nilainya pada suatu masa yang lain.

Jadi hendak guna teori apa bagi menggambarkan tentang nilai berita?

Seorang rakan sekolej saya dulu yang tidak kurang kreatifnya memberikan cadangan kepada saya.

"Apa kata kau guna contoh seperti dalam filem terbitan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang menunjukkan bagaimana seorang bakhil menjadi dermawan selepas terpikat dengan Cikgu Murni?" sarannya.

Maksud kawan saya itu, jikalau orang bakhil kedekut itu perkara biasa, bukan berita. Tetapi bila dia tiba-tiba sanggup menghamburkan wang besarnya kepada orang lain, itu pelik dan perlu diselidiki sebab dan puncanya. Maka di situlah letaknya nilai berita.

Mmm... logik jugak ya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan